Jumaat, 29 April 2011

RENCANA 79: MENULIS KARANGAN BAHAN RANGSANGAN

Ikutilah rencana Bahasa Melayu saya selanjutnya dalam majalah Fokus SPM, keluaran Mei 2011

RENCANA 78: KHUSUS UNTUK BAKAL CALON SPMU 2011


Ikuti rencana Komsas saya sepenuhnya dalam tiga halaman yang termuat dalam majalah Fokus SPM, keluaran Mei 2011 khususnya untuk bakal calon kertas Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) yang dijadualkan pada 14 Jun 2011.

RENCANA 77: PENGIKTIRAFAN TERHADAP PERANAN WANITA


Ikuti rencana umum saya berjudul "Pengiktirafan Terhadap Peranan Wanita" selanjutnya dalam majalah Fokus SPM, keluaran Mei 2011. Luangkan masa 30 minit untuk membacanya. Anda baca anda dapat!!!

Ahad, 24 April 2011

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SMK DATUK HJ. ABDUL SAMAD, PORT DICKSON




(Tarikh: 24 April 2011 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi - 1.00 petang
Tempat: Dewan SMK Datuk Hj. Abdul Samad, Port Dickson
Terima kasih kepada Encik Azmi dan isteri, GKMP Bahasa, Puan Fawziah (Kaunselor), guru-guru dan pelajar SDASA termasuk guru dan pelajar sekolah-sekolah jemputan di sekitar Port Dickson. Semoga kecemerlangan tahun lalu akan berulang lagi dan semakin memberangsangkan.

Jumaat, 22 April 2011

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SM ARAB AS SAIYIDAH KHADIJAH, MERLIMAU





Tarikh: 22 April 2011 (Jumaat)
Masa: 3.00 - 6.00 petang
Tempat: Dewan Asrama Puteri
Terima kasih kepada Puan Hjh. Naimah, Ketua Panitia, guru-guru dan pelajar yang terbabit.

Sabtu, 16 April 2011

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SEK. MEN. KEBANGSAAN DATO' ONN BUTTERWORTH









Tarikh: 15 April 2011(Jumaat)
Masa : 2.30 - 6.00 PETANG
Tempat: Dewan makan Sek. Menengah Kebangsaan Dato' Onn Butterworth
Terima kasih kepada Puan Safiah Osman, pentadbir, guru-guru, serta para pelajar yang mengundang saya untuk mengendalikan Program Jerayawara Bahasa di sekolah mereka. Komitmen dan penyertaan pelajar sepanjang program tersebut sangat positif dan ceria. Semoga kalian memperoleh manfaat dan terus berusaha menjadi pelajar cemerlang.

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SEK. MEN. VOKASIONAL BUTTERWORTH








Tarikh: 15 April 2011(Jumaat)
Masa : 9.00 - 12.30 tengah hari
Tempat: Dewan Aspura, Sek. Menengah Vokasional Butterworth
Terima kasih kepada Puan Noor Aishakin bt. Abd. Rahim, pentadbir, guru-guru, serta para pelajar yang mengundang saya untuk mengendalikan Program Jerayawara Bahasa di sekolah mereka. Komitmen dan penyertaan pelajar sepanjang program tersebut sangat positif dan ceria. Semoga kalian memperoleh manfaat dan terus berusaha menjadi pelajar cemerlang.

Khamis, 14 April 2011

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SMK MUNSHI ABDULLAH, MELAKA







r
Alhamdulillah selesai sudah Program Jerayawara Bahasa di SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka. Terima kasih kepada Encik Md. Ali Saed (Pengetua), Pn. Hj. Hasmah, (GKMP Bahasa) Tuan Hj. Hashim, guru-guru Bahasa Melayu dan para pelajar yang bakal memperoleh kejayaan cemerlang yang bakal menghadapi SPM pada penghujung tahun.

Program seterusnya bersambung di SM Vokasional, Butterworth pada pagi esok (15 April 2011) dan SMK Dato' Onn, Butterworth pada sebelah petang. Masa untuk berehat dan akan bertolak ke Sungai Petani pada malam ini. Semoga urusanku dipermudah dan perjalananku selamat pergi dan balik. Amin

Sabtu, 9 April 2011

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI MRSM KEM TERENDAK








Alhamdulillah selesai sudah Program Jerayawara Bahasa bersama-sama pelajar MRSM Kem Terendak dari jam 8.00 pagi - 1.00 tengah hari. Tahniah atas komitmen kalian yang aktif dan ceria sepanjang program tersebut. Semoga moto "Kami Cemerlang Terendak Gemilang" menjadi kenyataan dan kecemerlangan dalam SPM tahun ini akan lebih cemerlang, gemilang, dan terbilang. Terima kasih kepada Puan Faizah dan guru-guru Bahasa Melayu dan para pelajar yang terlibat.

Khamis, 7 April 2011

PERMOHONAN UNTUK PEMANGKUAN GURU /PENSYARAH CEMERLANG 2011

Perhatian kepada semua rakan guru yang berkelayakan dan berminat untuk memohon jawatan tersebut sila baca siaran yang berikut:

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia akan melaksanakan urusan pemangkuan Guru /Pensyarah Cemerlang bagi tahun 2011 bagi gred Khas C, gred DG54, gred DG48 (sekolah rendah), gred DG44, gred DGA38, gred DGA34 dan gred DGA32. Tawaran adalah terbuka kepada guru Sekolah Menengah, guru Sekolah Rendah, pensyarah IAB dan pensyarah kolej matrikulasi yang memenuhi syarat-syarat umum dan khusus.
Adalah dimaklumkan, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) akan memuat naik surat siaran berkaitan urusan pemangkuan ini dalam laman web JNJK dan laman web rasmi KPM. Kerjasama daripada pihak Y.Bhg. Datuk/ Dato’/ Datin/ Tuan, adalah dipohon untuk menghebah dan memaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing tentang surat siaran berkenaan. Kerjasama pihak Y.Bhg. Datuk/ Dato’/ Datin/ Tuan adalah dipohon untuk mengemukakan senarai nama dan borang permohonan calon-calon yang memenuhi syarat-syarat umum dan khusus kepada Urusetia Induk mengikut ketetapan berikut:
  • Pemohon dari sekolah hendaklah mengemukakan borang permohonan melalui Ketua Jabatan kepada JNJK Negeri (Lampiran I) selewat-lewatnya pada hari Khamis, 28 April 2011.
  • Pemohon dari Institut Aminuddin Baki, Kolej Matrikulasi dan sekolah-sekolah di bawah seliaan bahagian (Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Bahagian Pendidikan Islam, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional dan Bahagian Pendidikan Khas, Bahagian Sukan dan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian) hendaklah mengemukakan borang permohonan melalui Ketua Jabatan kepada Pengarah Bahagian masing-masing selewat-lewatnya pada hari Khamis, 28 April 2011.
  • Pengarah Bahagian hendaklah mengemukakan senarai nama calon dan borang permohonan kepada Ketua Nazir, JNJK Putrajaya selewat-lewatnya pada Khamis, 5 Mei 2011.
Untuk keterangan lanjut dan borang permohonan sila rujuk laman sesawang berikut:

Surat Siaran
Lampiran A1
Lampiran A2
Lampiran A3
Lampiran A4
Borang Permohonan
Kenyataan Ketua Jabatan
Surat Akuan Pinjaman Pendidikan
Tapisan Keutuhan
Alamat Jemaah Nazir Negeri

Selasa, 5 April 2011

KEMELUT TEKS SASTERA KOMSAS



Panel diminta berhati-hati pilih naskhah agar tidak dipersoal

SIFAT karya sastera yang subjektif dan terbuka kepada pelbagai terjemahan menyebabkan banyak sekali pertikaian yang mungkin wujud apabila sesuatu karya itu diangkat, tidak kiralah dalam pertandingan atau sebagai teks kajian. Selepas Interlok terseret dalam kontroversi politik nakal, beberapa lagi teks sastera turut dicuit dan kali ini bukan atas motif politik, tetapi atas dasar mutu karya itu sendiri yang disifatkan sesetengah pengkaji sebagai tidak cukup sifat sebagai karya sastera.

Mantan Pensyarah Sastera Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fatimah Busu berkata, ada naskhah kajian sastera di sekolah tidak langsung sesuai diangkat sebagai teks kerana tidak memaparkan unsur moral yang baik bagi membantu pembentukan insan. “Panel penilai yang memilih buku sastera dalam Komponen Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) dan subjek sastera sepatutnya lebih peka dan mengutamakan nilai-nilai pembentukan insan dalam pemilihan teks,” katanya. Beliau memberi contoh novel yang dipilih sebagai teks KOMSAS Tingkatan Empat, Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah adalah penulisan yang mengajar pembaca untuk berbohong dan ada penceritaan tidak bermoral misalnya membakar kedai burger.

Pembohongan yang dimaksudkan merujuk kepada watak utamanya, Azfa Hanani yang menerima tawaran Tengku Mazran untuk menyamar sebagai anaknya, Tengku Murni berikutan wajahnya yang serupa dengan Tengku Murni, pada harga RM500 sebulan.
Dr Fatimah berharap, panel pemilih teks KOMSAS lebih berhati-hati dalam memilih karya pada masa depan kerana semua karya terbabit dihidangkan kepada pembaca muda yang mudah terpengaruh dengan apa yang dibaca. Pensyarah Penulisan Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA), A Rahim Abdullah juga berkongsi pendapat sama apabila menyatakan ketidaktelitian pemilihan puisi dalam teks Anak Global dan Madu Ilmu, teks Tingkatan Empat menyaksikan ada puisi dalam teks berkenaan tidak cukup sifat.

“Ada karya yang tidak sesuai dijadikan teks kerana kecacatan dan kelemahan diksi, nilai bahasa dan logik budaya atau nuansa yang terbabas. Justeru, dapat dilihat pusi yang tidak menjadi dan dangkal sebagaimana hakikat puisi sebenar, disenaraikan. “Puisi dalam Anak Global dan Madu Ilmu boleh diagihkan mengikut kategori, berat, pertengahan dan mudah. Ia menyebabkan wujudnya jurang artistik yang jauh antara satu karya dengan yang lain. Ada yang terlalu panjang sedangkan puisi sifatnya menjimatkan kata-kata dan disusun dengan hebat. “Ada juga sajak surelisme yang susah difahami pelajar, namun masih ada puisi yang baik dan mudah dalam kedua-dua teks berkenaan. Antara puisi yang baik untuk dihadam pelajar ialah Akar karya Hilmi Rindu,” katanya.

A Rahim berpendapat, jawatankuasa pemilihan perlu berilmu dalam bidang masing-masing dan bukan hanya pegawai kerajaan kerana pada akhirnya pelajar tidak boleh menjadi korban masa kerana mempelajari bahan pembelajaran yang sudah terkorban artistiknya. “Saya tidak tahu, adakah kuota juga memainkan peranan dalam pemilihan karya kerana ada karya penulis yang langsung tidak dikenal dan ada karya yang tidak cukup sifat sebagai puisi. Kuota pada tema seperti patriotisme atau pencemaran alam boleh diterima. Kuota untuk penulis mapan, muda atau penulis tidak dikenali ia tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Namun, Pegawai Perancang Bahasa Dr Hanafi Ibrahim pula berkata, setiap karya punya kelas tersendiri dan jika dilihat dalam konteks memenuhi piawaian kementerian pelajaran, mungkin ia melepasi syarat yang digariskan. Bagaimanapun, apabila meletakkan sesetengah karya yang diangkat sebagai teks KOMSAS atau Sastera Elektif dalam ukuran kesusasteraan tulen akan menyaksikan karya berkenaan jauh ketinggalan. “Antara teks Sastera Elektif, Jeriji Kasih (JS) dengan teks KOMSAS, Interlok jauh benar bezanya. JS lebih mudah berbanding Interlok dan novel itu berada dalam kelas yang tidak sama dengan Interlok,” katanya. Dr Hanafi melihat JS mengangkat watak remaja Orang Kurang Upaya (OKU) Anuariza, satu watak unggul walaupun secara fizikalnya dia OKU dan kekuatan watak itu terserlah melalui bagaimana dia menukar kekurangan fizikal sebagai penggerak untuk berjaya.

“Remaja selalunya tidak tahu bagaimana mencungkil potensi diri, tetapi watak utama dalam novel ini berjaya mengusahakan taman landskap ditanam dengan anggur dan pokok naga, relevan dengan keadaan semasa. Kalau kita gali lagi novel ini, mungkin akan dapat dilihat lebih banyak lagi ciri berkualiti seperti pertimbangan rasa dan toleransi. Watak remaja wanita, Ruhaiza, juga dibina dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, JS dengan sifatnya sebagai teks Sastera Elektif dikaji pelajar aliran sastera dan Interlok naskhah kajian semua pelajar menerusi KOMSAS, sememangnya jauh berbeza secara perbandingan.

“Sebagai teks sastera peringkat sekolah, JS ialah naskhah yang baik dan memenuhi nilai murni yang digariskan Kementerian Pelajaran, tetapi dalam konteks teks kesusasteraan tulen, tahapnya rendah. Interlok mewakili zaman dengan merakam kisah golongan bawahan, tetapi akhirnya berjaya bangkit daripada kesusahan dan boleh menggalakkan perpaduan bangsa,” katanya. Justeru, Dr Hanafi berharap pemilihan teks Sastera Elektif dan KOMSAS pada masa depan, panel penilai mencari karya yang benar-benar boleh mewakili pemikiran budaya dan bangsa Malaysia agar tidak diperlekehkan selepas pemilihannya.

Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bharian.com.my 2011/04/05 - Berita Harian

Sabtu, 2 April 2011

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA & PENYATUAN SEMULA

Sempena cuti Melaka Bandar raya Bersejarah saya akan mengadakan Program Jerayawara Bahasa di SMK Vokasional dan SMK Dato Onn Butterworth. Kepada rakan-rakan UPM sesi 92-96 bolehlah kita adakan penyatuan semula (reunion) di sana ya...

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI KOMPLEKS FALAK AL KHAWARIZMI




Tahniah kepada semua pelajar SMK Seri Tanjung yang bersama-sama dalam Program Jerayawara Bahasa saya malam tadi. Semoga kalian memperoleh manfaat daripada pengisian yang disampaikan bagi memenuhi matlamat Program Kilauan Emas PMR, SPM dan STPM yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Terima kasih juga kepada Cikgu Puan Rossnita, Puan Liz Quraisin, dan guru-guru Bahasa Melayu yang turut terlibat dalam program tersebut.

Jumaat, 1 April 2011

MAKLUMAN BERKAITAN FORMAT KERTAS SOALAN BAHASA MELAYU SPM (1103) 2011

Pada peringkat ini masih ada lagi guru dan pelajar yang bertanya tentang format kertas Soalan Bahasa Melayu SPM (1103) 2011. Oleh itu, berikut disertakan makluman yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi menjelaskan kedudukan yang sebenar walaupun sebahagian besar guru dan pelajar sudah pun sedia maklum tentang hal ini.

MAKLUMAN BERKAITAN FORMAT KERTAS SOALAN
BAHASA MELAYU SPM (1103) 2011

Dimaklumkan bahawa teks komponen sastera Bahasa Melayu Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima telah ditukar mulai tahun 2010. Perubahan ini merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2009 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Teks komponen sastera ini mula diguna pakai oleh murid-murid Tingkatan Empat pada tahun 2010. Teks berkenaan akan digunakan untuk kertas Bahasa Melayu mulai peperiksaan SPM 2011.

Walau bagaimanapun, Kertas Bahasa Melayu SPM(U) 2011 masih menggunakan teks komponen sastera yang lama. Dimaklumkan juga bahawa pertukaran teks komponen sastera ini tidak melibatkan perubahan format kertas soalan Bahasa Melayu SPM.

Senarai teks komponen sastera yang baharu adalah seperti yang berikut:

1. Antologi Harga Remaja (Ting. 4)
Kementerian Pelajaran Malaysia
Dewan Bahasa dan Pustaka

2. Antologi Dirgahayu Bahasaku (Ting. 5)
Kementerian Pelajaran Malaysia
Dewan Bahasa Dan Pustaka

3. NOVEL

i. Papa…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof

ii. Azfa Hanani karya Azhan Mohamad Hanafiah
iii. Renyah karya Gunawan Mahmood
iv. Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
v. Interlok karya Abdullah Hussain
vi. Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir
vii. Sutera dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan
viii.Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah


Pengarah Peperiksaan
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia

Sumber asal